KUCHING, 29 Jun: Salammusik, kumpulan muzik tempatan yang terkenal dengan rentak reggae, hip hop dan Ska kini dalam proses mencipta lagu menggunakan alat muzik Sape.
Vokalis Salammusik, Ashraaf Salam A. Azlan yang juga dikenali sebagai Acap, berkata lagu yang melibatkan alat muzik tradisional Sarawak itu akan dimuatkan dalam album yang bakal terbit.
“Bila album akan dilancarkan belum dapat nak pastikan dahulu, kami masih dalam proses (pembikinan),” katanya pada sidang media artis yang membuat persembahan di Festival Muzik Hutan Hujan Seduni (RWMF) 2024 di sini, hari ini.
Dalam pada itu, beliau juga tidak menolak kebarangkalian bekerjasama dengan pemuzik tempatan Sarawak seperti Alena Murang dan Jerry Kamit.
Namun katanya, perkara ini belum dalam perancangan terdekat kumpulan itu.
“Buat masa ini belum lagi, tapi mungkin, kami terbuka (untuk bekerjasama),” katanya.
Mengenai RWMF, Acap berkata mereka sudah lama menunggu peluang keemasan untuk membuat persembahan di atas pentas RWMF sejak 2014.
Pada 2014, mereka dijemput untuk menyertai pertandingan bagi merebut tempat untuk membuat persembahan untuk RWMF.
“Namun kami gagal, dan akhirnya tahun ini, kami di sini.
“Saya boleh katakan ini adalah antara pentas terbesar kami. Kami sangat gementar namun pada masa yang sama kami juga teruja setelah mendapat peluang ini,” jelasnya.
Mereka mengambil masa dua bulan untuk membuat persiapan menjelang RWMF.
Salammusik dianggotai oleh 10 ahli dan seorang daripada meraka berasal dari Miri. – TVS