KUCHING, 29 Jun: Penyanyi terkenal, Datuk Zainal Abidin menzahirkan rasa hormat kepada Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang begitu menekankan penjagaan alam sekitar meskipun mengejar pembangunan.
Malah, Zainal yang terkenal dengan lagu ‘Hijau’ memuji usaha Sarawak dalam memacu pembangunan ekonomi hijau serta komited mencapai pelepasan sifar karbon.
Beliau merupakan artis yang akan membuat persembahan di atas pentas Festival Muzik Hutan Hujan Sedunia (RWMF) 2024 di Kampung Budaya Sarawak yang berlangsung bermula semalam dan akan berakhir pada malam esok.
“Saya berada di sini untuk menyokong Kerajaan Sarawak dalam isu-isu alam sekitar. Mereka begitu aktif dan fokus terhadap pengurangan karbon dan pengangkutan awam berkuasakan tenaga hidrogen,” katanya pada sidang media artis yang membuat persembahan di RWMF 2024 di sini, hari ini.
“Tahniah saya ucapkan kepada Sarawak, saya berbangga dengan anda,” katanya lagi.
Menurut Zainal, lagu ‘Hijau’ amat bertepatan dengan penganjuran RWMF 2024 sebagai platform untuk mendidik orang ramai tentang kepentingan menjaga alam sekitar.
Beliau menggunakan medium muzik untuk menyampaikan mesej penting mengenai kepentingan menjaga alam sekitar dan bumi kepada para pengunjung festival itu.
Lagu ‘Hijau’ mula berkumandang pada 30 Mei 1991 dan mesejnya tetap relevan diaplikasikan dalam situasi alam sekitar masa kini.
“Pihak RWMF telah lama menghubungi saya sejak bertahun-tahun yang lalu untuk menyertainya namun saya menolak kerana saya tunggu masa yang sesuai.
“Saya menunggu perkembangan pembangunan alam sekitar mampan yang dipraktikkan di sini (Sarawak),” katanya.