JAKARTA, 28 Jun: Pihak berkuasa Indonesia menahan 103 warganegara Taiwan yang disyaki menjalankan kegiatan penipuan dalam talian menerusi satu serbuan ke atas sebuah rumah di wilayah Tabanan, Bali, Indonesia pada Rabu lepas.
Pengarah Pengawasan dan Penguatkuasaan Imigresen, Saffar Muhammad Godam berkata menerusi serbuan Agensi Pengawasan dan Penguatkuasaan Imigresen melalui Pasukan Petugas (Satgas) Bali Becik, mereka disyaki melakukan jenayah siber berdasarkan hasil siasatan awal dengan mensasarkan penduduk Malaysia.
“Daripada hasil siasatan awal, mereka melakukan aktiviti jenayah menyasarkan orang yang berada di luar negara. Menurut pengakuan, mereka melakukan tindakan jenayah siber atau scam kepada orang yang berada di Malaysia,” katanya pada sidang media di Pejabat Imigresen Bali, hari ini.
Beliau berkata sindiket itu menjalankan aktivitinya di Indonesia, tetapi mensasarkan mangsa di negara lain.
Bagaimanapun, pihaknya akan melakukan siasatan lanjut dan bekerjasama dengan agensi terbabit di Malaysia bagi melengkapkan bukti siasatan.
Semua suspek yang ditahan akan dihantar pulang kembali ke negara asal dan dilarang memasuki Indonesia. – TVS