GUA MUSANG, 28 Jun: Unit Udara Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) melaksanakan operasi pemindahan perubatan (Medevac) membawa seorang bayi perempuan Orang Asli dari Pos Belatim mendapatkan rawatan di Hospital Gua Musang, semalam.
Pegawai Perhubungan Awam JBPM Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang, Penolong Penguasa Bomba Muhammad Akmaluddin Said berkata Mastiyara Sahary berusia setahun 10 bulan diterbangkan menggunakan pesawat jenis Agusta Westland (AW) 139 yang berlepas dari Pulau Pinang pada 1.23 tengah hari.
“Anak kapal tiba di Kampung Cegrok pukul 2.10 petang dan proses pemindahan pesakit memakan masa selama 10 minit sebelum meneruskan penerbangan ke Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang.
“Bayi berkenaan diiringi ibu dan ayahnya kerana mengalami demam panas, sesak nafas serta batuk berdarah dan telah diserahkan kepada kakitangan Kementerian Kesihatan untuk rawatan selanjutnya,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Muhammad Akmaluddin berkata pesawat itu selamat tiba di Pangkalan Udara Wilayah Utara, Pulau Pinang pada 5.43 petang dengan tempoh operasi mengambil masa tiga jam. – TVS