KOTA BHARU, 27 Jun: Kelantan Darul Naim FC (KDNFC) perlu mengekalkan rentak kemenangan dan bersemangat untuk terus mengutip tiga mata penuh ketika menentang Kedah Darul Aman FC (KDA FC) pada aksi Liga Super di Stadium Darul Aman, Kedah pada 12 Julai ini.
Ketua Jurulatihnya Park Jaehong berkata tempoh masa tiga minggu sebelum bertemu pasukan KDA FC harus digunakan sebaiknya untuk menjalani latihan, selain memperbaiki kedudukan pada saingan liga musim ini.
“Sekarang ini kami memberi tumpuan mempersiapkan pasukan bagi menghadapi satu lagi pasukan pilihan pada saingan Liga Super musim ini iaitu KDA FC dan ia jelas satu aksi sukar kepada kami.
“Pemain diharap terus kekal semangat untuk memperoleh mata untuk memperbaiki kedudukan pada saingan liga musim ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.
KDNFC ketika ini berada di kedudukan ke-12 daripada 13 pasukan yang beraksi pada saingan Liga Super musim ini dengan meraih tiga mata selepas empat perlawanan. -TVS