MIRI, 26 Jun: Selepas diadakan di Kuching, ‘The Great British Circus’ akan meneruskan jelajahnya di Sarawak pada tahun ini ke Miri pada 26 Julai sehingga 25 Ogos di Boulevard Shopping Mall Miri.
Datuk Bandaraya Miri, Adam Yii Siew Sang melihat persembahan ini bukan sahaja memberi peluang kepada rakyat Miri untuk meluangkan masa bersama ahli keluarga, tetapi juga akan menarik pelancong luar untuk datang ke Bandaraya Miri.
“Sebagai persembahan berorientasikan keluarga berkualiti tinggi, kita berharap banyak senyuman, gelak tawa dan kenangan indah dapat dinikmati oleh warga Miri di sarkas ini.
“Kita juga berharap dapat berkongsi kegembiraan ini dengan pelawat dan pelancong ke bandar kita kerana kita juga terus mengembangkan daya tarikan Miri sebagai destinasi pelancongan yang mempunyai banyak tarikan lain yang berkualiti tinggi yang boleh dikunjungi bersama-sama Great British Circus,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa sidang media ‘The Great British Circus’ di Dewan Bandaraya Miri pada Rabu.
Terkenal dengan persembahan luar biasa dan artis berbakat yang telah memikat penonton di seluruh dunia, beliau yakin sarkas antarabangsa ini akan membantu meningkatkan daya tarikan Miri sebagai destinasi pelancongan.
Dalam pada itu, Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif Dan Seni Persembahan (MTCP), Datuk Sebastian Ting Chiew Yew melihat persembahan dari ‘The Great British Circus’ akan menarik pengunjung dari luar Miri termasuk negara berdekatan iaitu Brunei Darussalam.
Menurutnya, ini disebabkan lokasi Miri yang dekat dengan negara tersebut menjadikan pengunjung dari Brunei seringkali datang melihat program yang diadakan di bandaraya ini.
“Sebab setiap kali kita menganjurkan program, orang Brunei akan datang. Biasanya dari segi jumlah pelancong yang datang ke Sarawak, negara nombor satu masih Brunei, diikuti Indonesia dan Singapura. Pelancong Singapura datang ke Kuching dan Miri. Untuk sarkas ini, saya percaya ini akan menarik penduduk sekitar sini, Bintulu, Limbang, Lawas dan orang Brunei. Itu akan membantu pusat pelancongan kita,” ujarnya.
Program ini menampilkan rancangan hiburan keluarga selama 2 jam yang dipersembahkan oleh barisan artis antarabangsa dengan elemen untuk dinikmati semua orang seperti komedi, aksi dan sebagainya. – TVS