KUALA LUMPUR, 26 Jun: Malaysian University FC menarik nafas lega apabila Johor Darul Ta’zim (JDT) bersetuju memberi kebenaran kepada mereka menggunakan Stadium Sultan Ibrahim (SSI) sebagai venue tuan rumah pada aksi pertama suku akhir Piala FA, Sabtu ini.
Pengurus Malaysian University FC, Mohd Farid Dewan berkata mereka terpaksa memohon untuk beraksi di SSI susulan tidak memiliki stadium bola sepak serta berdepan kekangan dalam mengelolakan perlawanan berkenaan.
Mohd Farid bagaimanapun memaklumkan mereka masih menunggu keputusan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) berhubung perubahan venue.
“Kita ada berbincang dengan pihak pengurusan JDT selepas pusingan 16 hari itu dan mulanya memang kita memohon untuk bermain di SSI sebab tiada stadium di sini. Kita adalah pasukan amatur kebanyakan (venue) di universiti.
“…memang tiada venue sesuai dan kita memohon serta hantar surat kepada JDT supaya mereka bantu kita bermain di SSI. Alhamdulillah surat kita telah dibalas JDT dan mereka berlapang dada bagi guna stadium secara percuma dan beberapa benda lain JDT sanggup tolong termasuklah tenaga kerja dan kos keselamatan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Malaysian University satu-satunya pasukan amatur daripada Liga A1 Semi Pro yang mara ke pusingan suku akhir Piala FA musim ini untuk berdepan JDT, manakala satu lagi aksi membabitkan pertembungan Kuching City FC dan Selangor FC pada Sabtu ini. -TVS