KUCHING, 25 Jun: Pihak polis membuat tangkapan dua lagi suspek merusuh dan mencederakan pengawal keselamatan di sebuah kolej di sini, pada 19 Jun lalu.
Ketua Polis Daerah Kuching, Asisten Komisioner Ahsmon Bajah berkata, tangkapan dua suspek lelaki berusia 34 dan 40 tahun itu dilakukan Cawangan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching pada Sabtu lalu, di Jalan Penrissen, Padawan.
“Secara keseluruhannya pihak polis telah menangkap empat suspek yang terlibat dan polis masih berusaha mengesan seorang lagi suspek yang masih bebas.
“Hasil pemeriksaan mendapati tiga daripada suspek mempunyai rekod lampau melibatkan jenayah kekerasan, dadah dan juga perjudian online,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, ujian saringan air kencing mendapati dua daripada suspek positif dadah jenis methamphetamine dan amphetamine.
“Kesemua suspek telah dituduh di Mahkamah Kuching hari ini di bawah Seksyen 324 kanun keseksaan atas kesalahan dengan sengaja menyebabkan cedera dengan menggunakan senjata.
“Kesemua suspek turut dituduh di bawah seksyen 447 Kanun Keseksaan atas kesalahan melakukan pencerobohan jenayah,” katanya.- TVS