KUCHING, 25 Jun: Kerajaan Sarawak akan menempatkan Pegawai Integriti Bertauliah (CeiO) bagi menambah baik tahap pemantapan pematuhan tata kelola di semua jabatan kerajaan di negeri ini.
Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, untuk itu kerjasama akan dijalinkan dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
“Kita kembangkan, mantapkan ombudsman kita supaya kakitangan kerajaan akan mematuhi tata kelola yang ditetapkan agar kita dapat pantau disiplin mereka.
“Saya rasa yang penting adalah integriti dan untuk Sarawak kita meminta bantuan SPRM di mana kita sudah ada pegawai CeiO untuk ditempatkan di setiap jabatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Persidangan Juruaudit Kebangsaan 2024 di Pusat Konvesyen Borneo Kuching (BCCK), hari ini.
Tambahnya lagi, sekiranya strategi ini berjalan dengan lancar, Sarawak dapat menguruskan hal ehwal ekonomi dengan baik dan bakal memberi manfaat kepada masyarakat di Sarawak khasnya.
“Jika ini berlaku, Insya-Allah saya rasa ekonomi kita dapat diuruskan dengan baik dan memberi manfaat kepada pihak berkepentingan khasnya rakyat jelata,” ujarnya. – TVS