BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Jun: Reka bentuknya yang panjang serta dihiasi ukiran emas dengan motif negara Brunei pada ‘Usongan Diraja’ telah menarik perhatian Yang di-Pertua Negeri Sarawak semasa kunjungannya ke Muzium Alat Kebesaran Diraja pada Ahad.
Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isterinya Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi tiba di muzium berkenaan pada jam 2.15 petang turut diiringi Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan dan disambut Setiausaha Tetap Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Pengiran Mohd Hasnan Pengiran Ali Hassan.
TYT tiba di Bandar Seri Begawan, mulakan lawatan rasmi ke Brunei
Beliau turut diberi penerangan mengenai beberapa Alat Kebesaran Diraja yang dipamerkan sepanjang tempoh dua jam lawatannya ke muzium tersebut oleh Pemangku Pengarah, Jabatan Muzium-Muzium Brunei, Pengiran Rosli Pengiran Halus.
Ia termasuk sejarah Usongan Diraja yang digunakan semasa Istiadat Perarakan Diraja pada tahun 1968.
Usongan Diraja itu dihias dengan Panji-Panji dan motif reka bentuk negara Brunei Darussalam, dan ditarik oleh 40 Pengiran-Pengiran Kebanyakan yang berpakaian seragam hitam.
Muzium Alat Kebesaran Diraja dirasmikan pada 30 September 1992 oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Hassanal Bolkiah Mu’izzaddien Waddaulah ibni Al-Marhum Sultan Omar Ali Saifuddien Sa’adul Khairi Waddien, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusssalam.
Ia dirasmikan bersempena majlis sambutan Jubli Perak 25 Tahun Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darusssalam menaiki takhta.
Reka bentuk bangunan Muzium Alat Kebesaran Diraja menggabungkan ciri-ciri konsep Melayu Islam Beraja dan mempamerkan alat-alat kebesaran dan perhiasan diraja.
Terdapat beberapa galeri pameran, antaranya Alat Kebesaran Diraja dalam Istiadat Perpuspaan, Pameran Diraja, dan Pameran Jubli Emas: Lima Dekad di atas Takhta Kerajaan.
Galeri ini mempamerkan alat-alat kebesaran diraja yang digunakan semasa Istiadat Perpuspaan atau pertabalan Sultan dan Yang di-Pertuan Negara Brunei pada 1 Ogos 1968. -TVS