KUCHING, 20 Jun: Yayasan Peneraju Talent Bank menyasarkan untuk membangunkan 10,000 bakat pemimpin berimpak tinggi, terutamanya individu Bumiputera menjelang tahun 2030.
Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Ibrahim Sani berkata, daripada angka tersebut, Talent Bank berhasrat untuk membangunkan seramai 5,000 pemimpin professional, 4,000 pemimpin perniagaan dan 1,000 pemimpin komuniti.
“Para peserta akan melalui penilaian teliti dan pelan pembangunan peribadi akan disusun menurut hasil penilaian itu, untuk menangani proses perkembangan masing-masing.
“Diikuti oleh proses pemprofilan terkhusus untuk mudah memahami kemahiran peserta, dan penambahbaikan yang diperlukan bagi merancang pembangunan kepimpinan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Yayasan Peneraju Talent Bank di sini, hari ini. Pelancaran disempurnakan Timbalan Menteri Ekonomi, Dato Hanifah Hajar Taib.
Ibrahim berkata, Yayasan Peneraju, sebuah agensi di bawah Kementerian Ekonomi turut mensasarkan sekurang-kurang 3,000 daripada 10,000 adalah bakat dari Sarawak.
“Fasa awal inisiatif ini akan memberi tumpuan dalam penarikan peserta dan membina pangkalan data komprehensif bakat-bakat berpotensi,” katanya.