KUCHING, 19 Jun: Seramai 182 penduduk dari Kampung Muda Hashim dan kawasan sekitar di sini menerima sumbangan Aidiladha menerusi Program Ibadah Korban anjuran Bank Rakyat, TVS dan Masjid Al Hakim, hari ini.
Empat ekor lembu dikorbankan pada program berkenaan dengan tiga ekor lembu disumbang kariah masjid manakala seekor sumbangan Bank Rakyat dan TVS.
Timbalan Pengerusi Masjid Al Hakim, Shaharoni Matnor berkata, program ibadah korban merupakan aktiviti tahunan anjuran pihak masjid bersama badan-badan korporat dan orang persendirian.
“Kita akan uar-uarkan kepada pihak kariah siapa yang mahu turut serta dalam majlis korban ada bahagian tertentu dan ada juga pihak yang sudi untuk mengadakan program majlis korban,” katanya ditemui pada program berkenaan.
Seramai 70 orang yang terlibat dalam program itu yang terdiri daripada 20 kakitangan Bank Rakyat, 20 kakitangan TVS dan 30 orang kariah Masjid Al Hakim.
Dalam pada itu, golongan belia digalak menyertai program ibadah korban semasa Hari Raya Aidiladha memandangkan ia banyak memberi manfaat dalam membina jati diri mereka.
Wakil asnaf Bank Rakyat, Muhammad Nurulhaq Abdul Rahim berkata selain dapat mempelajari teknik pemotongan dan pembahagian daging ia juga secara tidak langsung mengeratkan hubungan silaturahim.
Pada masa sama ia turut menyemai semangat bergotong royong dalam jati diri mereka dalam melaksanakan sesuatu majlis.
“Saya lihat suasana daripada dari segi orang muda dengan orang tua dapat bergaul selain mendapat pahala menerusi kerja ibadah yang dilakukan,” katanya ditemui semasa Program Ibadah Korban TVS dan Bank Rakyat di Masjid Al Hakim di sini, hari ini.
Sementara itu, penerima sumbangan daging, Abdullah Zamri berkata beliau kagum melihat semangat gotong royong anak muda sepanjang program itu berlangsung.
“Budaya tolong menolong nampak jelas dalam kalangan anak-anak muda semasa program ibadah korban ini,” katanya.