KUCHING, 18 Jun: Upacara rasmi menaikkan bendera gergasi Sarawak di Dataran Ibu Pertiwi bakal berlangsung pada 27 Julai sempena Sambutan Hari Sarawak pada 22 Julai.
Timbalan Menteri Utiliti dan Telekomunikasi (Bekalan Air) Sarawak, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi berkata acara tersebut dilakukan buat julung kali.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dijadual akan menyempurnakan upacara itu.
“Pertama kali acara rasmi menaikan bendera Ibu Pertiwi Sarawak akan dilangsungkan pada hari tersebut. Upacara ini akan dilaksanakan dengan perbarisan hormat oleh pancaragam DBKU,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui pada majlis ibadah korban di Kampung Sourabaya Hulu di sini, hari ini.
Dr Abdul Rahman berkata, pihaknya memilih untuk mengadakan acara tersebut pada 27 julai kerana ia adalah hari Ahad yakni kebanyakan orang ramai tidak bekerja, malah serentak dengan Hari Bebas Kenderaan anjuran DBKU.