MEKAH, 16 Jun: Seramai 50 orang jemaah haji Malaysia yang dikenal pasti memerlukan bantuan dan bimbingan khusus sepanjang kemuncak ibadah haji pada tahun ini disediakan perkhidmatan Program Prihatin Tetamu Ar-Rahman (PENEMAN).
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, antara bantuan yang diberikan seperti khidmat mengiring ke bilik air, mengurus diri, bimbingan beribadah, menyempurnakan pelaksanaan ibadah haji seperti tawaf, saie dan melontar di jamrah.
![](https://s3.tvstv.my/wp-content/uploads/2024/06/PIXX-20240616-MEKAH-ZENHASHIM-HAJI-2-300x169.jpg)
“Seramai 50 orang jemaah haji yang uzur dipilih untuk program PENEMAN ini, rata-rata jemaah menzahirkan penghargaan kepada PENEMAN kerana memberi tumpuan untuk memastikan keselamatan dan kesihatan jemaah haji yang terpilih.
“Saya juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada PENEMAN kerana berkorban masa dan fizikal mereka untuk memastikan kesemua jemaah yang uzur dapat menyempurnakan haji dengan sempurna,” katanya ketika ditemui pemberita selepas beramah mesra bersama jemaah Malaysia di tapak perkhemahan Arafah di sini, pada Sabtu.
Mohd Na’im berkata, ketika berwukuf di Arafah, jemaah haji dan petugas program PENEMAN akan ditempatkan bersama dalam khemah khas berhampiran tandas sebagai kemudahan.
Sementara itu, beliau berkata, Unit Perkhidmatan Kaunseling memfokuskan kepada isu kesejahteraan psikologi dan kesihatan mental dalam kalangan jemaah haji serta petugas, dengan melaksanakan inisiatif pencegahan awal dan intervensi. -TVS