KOTA SAMARAHAN, 15 Jun: Penuntut lelaki ditemui lemas di tasik Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 8.32 pagi dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Samarahan ke lokasi kejadian.
“Setibanya di lokasi kejadian didapati benar ada seorang mangsa lemas terapung berada dalam tasik di UNIMAS dengan jarak tiga meter dari tebing bedekatan Jambatan Cinta,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, pasukan bomba membuat kerja menarik mangsa ke tebing atas kebenaran pihak polis.
“Pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi kejadian mengesahkan kematian mangsa.
“Pihak KKM mengesahkan bahawa mangsa seorang lelaki tempatan berusia dalam lingkungan 20 tahun pelajar UNIMAS telah meninggal dunia,” ujarnya.
Katanya, mayat mangsa dibawa pihak polis ke Hospital Umum Sarawak (HUS) untuk bedah siasat. – TVS