KUCHING, 14 Jun: Timbalan Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak Datuk Snowdan Lawan, menyifatkan pemergian bapanya, mendiang Datuk Donald Lawan diibaratkan dirinya kehilangan seorang guru.
Ini kerana, Snowdan memberitahu mendiang bapanya merupakan individu yang bertanggungjawab membawanya menyertai arena politik.
“Sewaktu saya berada dalam dunia perniagaan, mendiang sudah melihat karakter kepimpinan dalam diri saya di antara adik-beradik untuk meneruskan legasinya dalam politik sejak 2004.
“Mendiang sentiasa memperingati saya untuk menjadi seorang pemimpin yang sentiasa mendengar rintihan rakyat dan sentiasa membantu mereka,” katanya ketika ditemui media di kediamannya di sini, hari ini.
Menurut Snowdan, mendiang mengabdikan hidupnya untuk membantu rakyat meskipun tidak aktif dalam era politik lagi.
Mendiang Donald Lawan yang merupakan bapa kepada Snowdan telah menghembus nafas terakhirnya di usia 81 tahun sekitar 6:38 petang pada Selasa akibat komplikasi jantung.
Untuk rekod mendiang Donald Lawan bergiat aktif dalam politik sejak memenangi kerusi DUN Lingga pada 1987 sebelum berpindah ke DUN Begunan dan menang di kawasan berkenaan dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 1991 serta mempertahankan kerusi DUN itu pada PRN 1996.
Mendiang juga merupakan seorang ahli perniagaan berjaya pernah dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri sebelum menjadi ADUN Bukit Begunan 1987 hingga 1991. -TVS