KUCHING, 13 Jun: Isteri Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi hari ini hadir bagi menyaksikan perlawanan akhir Kejohanan Bola Jaring Piala Pesuruhjaya Polis Sarawak di Pusat Latihan Polis Diraja Malaysia (PULAPOL) Kuching.
Toh Puan Fauziah turut menjadi pengadil bagi perlawanan khas antara tetamu jemputan kejohanan sebelum menyaksikan pertandingan akhir.
Pertandingan akhir menyaksikan pertembungan antara pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching menentang gabungan IPD Kota Samarahan dan IPD Bau.
Sementara itu, Pesuruhjaya Polis Sarawak Dato Mancha Ata berkata warga polis yang berada di PULAPOL Kuching bertuah atas kehadiran Toh Puan Fauziah.
“Kita rasa bertuah kerana pada pertandingan akhir bola jaring, Toh Puan hadir dan bukan senang seorang yang diperingkat tersebut hadir untuk menyaksikan kejohanan-kejohanan di peringkat bawah seperti kita ini,” katanya.