KUCHING, 13 Jun: Ekosistem syarikat pemula niaga di Kuala Lumpur telah menjana lebih RM220 bilion bagi tempoh dari 1 Julai 2021 hingga 31 Disember 2024.
Cradle Fund Sdn Bhd yang berkata demikian menambah bahawa pemula niaga di Kuala Lumpur juga berada di kedudukan 30 terbaik bagi ekosistem membangun.
“Laporan Ekosistem Startup Global (GSER) 2024 baru-baru ini, pencapaian ini mencerminkan pertumbuhan Kuala Lumpur yang pesat dan impak ekonomi yang berskala tinggi,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Nilai ekosistem merupakan kayu ukur bagi impak ekonomi oleh sesebuah bandar melalui nilai peluang keluar dan penilaian syarikat pemula.
Dalam kenyataan sama, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Chang Lih Kang berkata nilai ekosistem dan pencapaian Kuala Lumpur ini membuktikan tumpuan negara dalam melabur dan membangunkan ekosistem startup teknologi.
“Menyedari perkara ini, saya juga ingin mengiktiraf peranan dan impak semua agensi, kementerian, dan organisasi yang terlibat melalui platform Tetingkap Tunggal MYStartup yang baharu dilancarkan.
“MOSTI akan terus menerajui usaha ini untuk merealisasikan visi kami dalam menjadikan ekosistem startup Malaysia dalam kedudukan 20 terbaik menjelang 2030 seperti yang digariskan dalam Pelan Hala Tuju Ekosistem Startup Malaysia (SUPER) 2021-2030,” katanya.
Dalam pada itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cradle berkata pencapaian membanggakan ini adalah bukti usaha dan inisiatif strategik yang dijalankan untuk memupuk persekitaran yang kondusif bagi startup.
Tambahnya, agensi fokal bagi ekosistem syarikat pemula Malaysia itu berusaha untuk menggabungkan sumber dan pengalaman semua pihak berkepentingan dalam ekosistem.
“Malaysia telah mengiktiraf peranan syarikat pemula niaga dalam memacu inovasi tempatan dan kemajuan teknologi.
“Dengan komitmen yang berterusan dalam membentuk sebuah ekosistem yang berprestasi tinggi, inklusif, global, dan mampan, Cradle akan terus berusaha untuk meletakkan Malaysia di barisan hadapan ekosistem startup di peringkat global,” ujarnya.