KUCHING, 12 Jun: Pertumbuhan ekonomi yang mampan dan langkah membasmi kemiskinan boleh dicapai menerusi penggunaan teknologi dan pengetahuan yang strategik.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg optimis menerusi penggunaan tenaga boleh diperbaharui dan kemajuan teknologi baharu, kadar kemiskinan mampu diatasi.
“Bagi saya, teknologi adalah satu kaedah untuk kita basmi kemiskinan, dan menurut Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), ia mesti dilakukan menerusi teknologi dan kesedaran, serta sumber tenaga tersebut,” kata beliau.
Abang Johari berkata demikian dalam ucaptamanya di Forum Teknologi Bersih Amerika Syarikat – Malaysia di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini pada Rabu.
Dalam pada itu, beliau berkata Kerajaan Sarawak mengambil langkah berterusan untuk melahirkan tenaga kerja yang mahir bagi mencapai tahap kemajuan teknologi yang tinggi di Sarawak.
Antara langkah tersebut katanya ialah dengan mementingkan penguasaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa antarabangsa dalam kalangan anak Sarawak.
“Di Dewan Undangan Negeri Sarawak, kita guna Bahasa Inggeris. Rakan saya dari Semenanjung Malaysia bertanya kepada saya: “Kamu masih pakai Bahasa Inggeris? Itu bahasa penjajah.
“Saya jawab tidak, ia bahasa antarabangsa. Kamu pergi ke Amerika Syarikat dan di mana sahaja mesti guna Bahasa Inggeris.
“Oleh itu, ia adalah bahasa antarabangsa dan kita menggalak (penggunaan) Bahasa Inggeris dan pada masa sama penguasaan bahasa kebangsaan,” jelas beliau.
Abang Johari menambah, Kerajaan Sarawak juga menyediakan pendidikan percuma kepada golongan yang layak di lima sekolah antarabangsa milik Kerajaan Sarawak.
“Sekolah antarabangsa ini adalah percuma kepada B40. Kami bagi percuma, mereka tidak perlu bayar.
“Semua ini adalah untuk mempersiapkan anak Sarawak agar mereka terdedah kepada dan mempelajari teknologi baharu,” ujar beliau. – TVS