KUCHING, 12 Jun: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Donald Lawan sebagai seorang ahli politik yang terkenal dengan keberanian menghadapi risiko selain menabur bakti kepada masayarakat tanpa mengira kaum dan bangsa di negeri ini.
“Baru-baru ini kami telah mengadakan pertemuan, perkongsian tentang tenaga yang boleh diperbaharui dan mendiang adalah seorang yang kreatif.
“Saya telah kenal mendiang ketika saya menjadi Menteri Industri pada masa itu, walaupun beliau sebagai seorang ahli politik, seorang yang berani mengambil risiko, namun kebaikannya tetap terkenal dalam memacu pembangunan masyarakat Dayak,” katanya ketika ditemui pelberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang di kediamannya di Tabuan Supreme, Jalan Nyatoh Kuching,
Abang Johari turut mendedahkan, mendiang juga seorang ikon yang bukan sahaja terkenal dalam kalangan masyarakat kaum Dayak, tetapi juga seorang pemangkin kepada kaum-kaum Bumiputera lain.
“Mendiang adalah seorang ikon yang terkenal bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Dayak tetapi juga dalam kalangan kaum Bumiputera lain, khususnya dalam sektor perniagaan,” tambahnya.
Mantan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Begunan, Donald Lawan, meninggal dunia di Borneo Medical Centre pada pukul 6.38 petang pada Selasa akibat kegagalan jantung.
Penghormatan terakhir mendiang akan berlangsung tiga hari sehingga Jumaat ini di kediamannya.
Upacara sembahyang terakhir akan dijadual pada hari Sabtu di St. Faith Anglican Church, pada 9:30 pagi.
Sementara itu , upacara pengebumian mendiang akan berlangsung pada hari Sabtu di Nirvana Memorial Park, Siniawan pada pukul 11:30 pagi. -TVS