KUCHING, 10 Jun: Dasar Peralihan Tenaga Sarawak (SET-P) merupakan satu inisiatif ke arah memastikan masa depan tenaga yang lestari, bersih dan makmur.
Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata polisi itu adalah berlandaskan inovasi dan keterangkuman, integrasi, peraturan, teknologi, infrastruktur dan penglibatan komuniti.
Menurutnya SET-P adalah konsep ‘hipernomik’ yakni satu rangka kerja sinergi yang memanfaatkan infrastruktur canggih dan penglibatan komuniti.
“‘Hipernomik’ membayangkan satu rangka kerja sinergi yakni elemen-elemen ini bekerja dalam harmoni, mengurangkan kos dan meningkatkan kecekapan dan keberkesanan usaha peralihan tenaga kita secara signifikan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Hidrogen Hijau Asia Pasifik 2024 (APGH 2024) di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini, hari ini.
Abang Johari berkata lagi, dasar itu menumpu kepada empat sektor utama iaitu tenaga, pengangkutan, industri dan bangunan.
“Dalam sektor tenaga, matlamatnya adalah penjanaan dan pengagihan tenaga yang boleh diperbaharui dan boleh dipercayai. Untuk pengangkutan, SET-P bertujuan mempromosikan penyelesaian mobiliti hijau untuk mengurangkan pelepasan karbon.
“Sektor industri akan menyaksikan dorongan untuk amalan dan inovasi yang lestari manakala sektor bangunan akan memajukan reka bentuk dan teknologi cekap tenaga,” jelasnya.
Sementara itu, katanya pemangkin utama untuk kejayaan dasar ini termasuk sokongan peraturan yang kukuh, perkongsian awam-swasta, insentif pembiayaan, kerjasama dalam pembangunan teknologi, pendidikan dan latihan untuk tenaga kerja mahir, serta inisiatif kesedaran awam.
SET-P juga menekankan lapan jenis tenaga dan teknologi merangkumi tenaga boleh diperbaharui, hidrogen, kecekapan tenaga, mobiliti hijau, bahan bakar sintetik, bioenergi, minyak dan gas serta penangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS). – TVS