SELANGAU, 9 Jun: Seorang pemuda warganegara Indonesia terpaksa menahan azab selepas tangannya tersepit dalam mesin pengisar daging di kedai Bak Kut Teh di sini, hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu jam 12.28 tengah hari dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Selangau ke lokasi kejadian.
“Setiba di lokasi kejadian didapati tangan mangsa dikenali Firdaus Andhika Tri Wardana,21, tersepit dalam mesin pengisar daging.
“Setelah membuat saiz up, pasukan bomba melakukan operasi membuka mesin pengisar dan menstabilkan tangan mangsa menggunakan pembalut,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, seterusnya mangsa diserahkan kepada pihak APM Selangau untuk perkhidmatan ambulans dan dibawa ke Klinik Kesihatan Selangau untuk mendapat rawatan. -TVS