LIMBANG, 8 Jun: Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah mencadangkan agar pakej ekopelancongan yang mengetengahkan budaya masyarakat Bisaya digabungkan dengan pakej pengembaraan ke Head Hunters’ Trail di Taman Negara Gunung Mulu.
Ini kerana katanya, pakej Head Hunter’s Trail juga mempromosi unsur budaya sebagai sebahagian daripada pengalaman dalam perjalanan berkenaan.
“Justeru, dengan menggabungkan pakej berkenaan, agak mudah bagi agensi pelancongan untuk mempromosi produk ekopelancongan masyarakat Bisaya di kawasan Batu Danau ini.
“Dengan yang demikian, adat budaya masyarakat Bisaya akan dapat diketengahkan sebagai produk pelancongan bagi merancakkan industri pelancongan di Bahagian Limbang sekaligus menyumbang kepada peningkatan sosio-ekonomi dan taraf hidup penduduk setempat,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan Ahli Parlimen Limbang merangkap Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Hasbi Habibollah di Majlis Perasmian Pesta Babulang dan Lumba Kerbau serta Nakod Babulang di sini, hari ini.
Bagi membuka peluang kepada masyarakat Bisaya untuk terlibat dalam aktiviti ekopelancongan secara terancang, beliau akan mengarahkan Limbang Divisional Tourism Task Force yang dipengerusikan oleh Residen untuk bekerjasama dengan Persatuan Bisaya Sarawak bagi menyediakan Pelan Pengurusan dan Pelan Tindakan Ekopelancongan di Kawasan Batu Danau sebagai menyokong kepada Pelan Ekopelancongan Bahagian Limbang secara keseluruhannya. – TVS