KUCHING, 6 Jun: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi memberikan penghormatan terakhir kepada mendiang Koperal (B) Etin Jam di Dewan Suarah Kuching, di sini, pada 2.30 petang tadi.
Turut hadir Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-kanak dan Kesejahteraan Komuniti Dato Sri Fatimah Abdullah.
Terdahulu, jasad mendiang penerima anugerah tertinggi negara Seri Pahlawan Gagah Perkasa (SP) itu tiba di Dewan Suarah di sini kira-kira pukul 1 petang tadi.
Jasad mendiang diterbangkan dari Miri dengan pesawat khas Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) diusung dengan keranda yang dibalut dengan Jalur Gemilang sebagai menghargai jasa dan pengorbanan kepada negara.
Mendiang Etin, 83, yang meninggal dunia di Hospital Miri pada Selasa akibat penyakit kanser paru-paru akan disemadikan di Makam Pahlawan Kuching, esok.
Pada 6 Julai 1972 atas jasa dan pengorbanan semasa berkhidmat dalam PDRM, Etin telah dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Pahlawan Gagah Perkasa (S.P.) oleh Yang di-Pertuan Agong kelima, Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Berikutan pemergian Etin, kini hanya tinggal tiga lagi penerima warga emas anugerah SP di negara ini. – TVS