BETONG, 5 Jun: Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab cuba memperlekehkan kejayaan Sarawak membangunkan ekonominya.
Douglas Uggah berkata, perbuatan itu seolah-olah mahu menafikan kejayaan wilayah ini di bawah pentadbiran Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Sehubungan itu beliau menyeru agar rakyat Sarawak tidak mudah termakan hasutan jahat berkenaan.
“Ada pihak yang berfikiran negatif bahawa kita (Sarawak) tidak patut senang.
“Kita mengecam tindakan tidak bertanggungjawab sedemikian kerana ini (pendapatan Sarawak meningkat) merupakan hasil usaha gigih Abang Johari,” katanya ketika berucap pada Majlis Ngabang Gawai Betong 2024 di sini hari ini.
Program itu turut dihadiri oleh Abang Johari, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah dan pemimpin tempatan.
Berkenaan tuduhan kononnya Sarawak bernasib baik, Douglas Uggah berkata, dalam soal pentadbiran istilah berkenaan tidak wujud kerana sesebuah kerajaan memerlukan perancangan teliti untuk melaksanakan pembangunan dan agenda ekonomi.
“Ada juga yang kata Sarawak bernasib baik, ini bukan nasib baik, kalau nasib baik kenapa Sabah tidak bernasib baik? Kenapa negeri-negeri lain tidak bernasib baik,” katanya.
Lebih RM 1.4 bilion diluluskan untuk pembangunan Betong – Abang Johari
Bagi berdepan cabaran ini, Douglas Uggah berkata, Sarawak perlu mengekalkan kestabilan politik yang dinikmatinya.
“Ini (kestabilan politik) sudah jelas (menjadi faktor penting) menyumbang kepada kejayaan Sarawak muncul wilayah berpendapatan tinggi menjelang 2030,” katanya. – TVS.