BETONG, 5 Jun: Kejayaan Sarawak melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan merupakan bukti kerja keras pemimpin serta seluruh barisan kabinetnya, kata Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Premier Sarawak itu berkata, pada masa sama mereka tidak mudah mengalah terutamanya untuk melaksanakan projek kesejahteraan rakyat walaupun pernah berdepan cabaran.
Kata Abang Johari, perkara itu dapat dilihat apabila projek mega di Sarawak pernah dibatalkan oleh Kerajaan Persekutuan terdahulu.
“(Ketika itu) Gabungan Parti Sarawak (GPS) mengambil alih tanggungjawab tersebut serta (Sarawak) mengeluarkan kos sendiri (untuk meneruskan pembinaan projek mega yang dibatalkan).
“(Oleh itu) sekiranya pendapatan Sarawak naik sehingga RM13 bilion, janganlah cemburu, itu adalah kerana kerja kuat sesama rakyat Sarawak serta pemimpin,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ngabang Gawai Dayak Betong 2024, di Dewan Sukan Tan Sri Datuk Amar Stephen Kalong Ningkan, di sini, hari ini.
Yang turut hadir, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah serta barisan pemimpin tempatan.
Sementara itu, Abang Johari berkata, usaha pihaknya menyediakan prasarana rakyat bukanlah perkara mudah dengan mengambil kira cabaran geografi Sarawak namun perkara itu bukanlah alasan untuk menafikan hak rakyat Sarawak menikmati kemudahan terbaik.
“Bukan senang hendak bina jambatan. Tadi saya lihat Jambatan Batang Lupar dari Sri Aman sudah tinggi, begitu juga dengan (pembinaan) Jambatan Batang Lupar.
“Dulu, ini mungkin hanya impian sahaja, kerana projek jambatan ini pernah dibatalkan. Tapi bagi saya ini adalah cabaran dan hari ini kita lihatlah hasilnya,” tambah beliau. – TVS.