KUCHING, Mei 29: Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar menerima kunjungan hormat daripada Ahli Gabungan Ketua Masyarakat Islam Sarawak di Astana Negeri di sini, hari ini.
Kunjungan yang diketuai oleh Pemanca Bahagian Kuching Utara merangkap Pengerusi Gabungan Ketua Masyarakat Islam Sarawak, Roshidi Junai, bertujuan untuk membincangkan perkembangan semasa serta kedudukan Ketua Masyarakat di negeri ini yang dianggap sebagai ‘mata dan telinga kerajaan’ namun imbuhan yang diberikan kerajaan agak rendah.
“Kita telah merancangkan kunjungan hormat ini sejak lama, lebih dari tiga minggu yang lalu. Kita daripada Gabungan Ketua Masyarakat Islam Sarawak terdiri daripada wakil-wakil bahagian seluruh negeri Sarawak yang hadir hari ini. Kami berhasrat untuk bertemu dengan Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi dan menyampaikan perkembangan kami kepada beliau,” katanya.
Roshidi berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas kunjungan hormat itu sambil mendedahkan Tun Wan Junaidi berminat serta memberi perhatian terhadap inisiatif gabungan berkenaan.
“Respon dari Tun Wan Junaidi adalah positif dan beliau mendengar dengan baik keluhan-keluhan kita. Beliau pun berasa prihatin dan akan berbincang dengan Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg pada masa yang akan datang.
“Mudah-mudahan ada berita baik dari pihak kerajaan kepada ketua-ketua masyarakat negeri Sarawak,” ujarnya lagi. – TVS