KUCHING, 27 Mei: Cadangan untuk menganjurkan Persidangan Media Sarawak (SMeC) yang berskala lebih besar disambut baik Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan Unit Komunikasi Awam Sarawak) Datuk Abdullah Saidol berkata maklum balas positif ini susulan penganjuran SMeC 2024 yang diadakan di bandar raya ini sebagai pengisian sambutan Hari Wartawan (HAWANA) 2024.
“Idea untuk mengadakan lagi acara ini sememangnya ada. Saya tidak pasti sekiranya ia akan diadakan tahun hadapan. Saya harapkan ia akan diadakan pada tahun hadapan.
“Namun apa yang pasti, Premier Sarawak memberi maklum balas yang sangat baik dan kemungkinan menganjurkan acara ini pada skala lebih besar,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan SMeC 2024 yang diadakan pada 26 dan 27 Mei di sini, hari ini. Majlis itu turut dihadiri, Timbalan Setiausaha Kerajaan Sarawak, Datuk Hii Chang Kee.
Menurutnya lagi, SMeC berskala besar bukan sahaja hanya berfokus pada pembentangan penceramah tetapi juga membabitkan penglibatan lebih ramai pengamal media.
“Kita juga bercadang untuk membabitkan lebih ramai pembekal gajet elektronik, seperti dron. Saya rasa tempat yang besar untuk mengadakan acara pada skala ini ialah di BCCK,” ujarnya lagi.
SMeC 2024 bertemakan ‘Evolusi Media dalam Era Digital’ menghimpunkan kira-kira 800 pengamal media dari Sarawak, Sabah dan Semenanjung Malaysia termasuk dari 11 negara lain antaranya Indonesia, Brunei dan Singapura.
Sebanyak 11 topik dibentangkan membabitkan tujuh penceramah tempatan dan antarabangsa.