KUCHING, 19 Mei: Kuching City FC menyeru penyokong mereka untuk membanjiri Stadium Negeri Petra Jaya petang ini sempena aksi kedua Liga Super 2024 menentang Sri Pahang FC.
Ketua pasukan, Alif Hassan berkata, mereka berpeluang meraih kemenangan pertama musim ini sekiranya bijak memanfaatkan peluang dan mengurangkan kesilapan.
“Pada masa sama berharap agar kesemua pemain yang diturunkan dapat memberi sepenuh komitmen serta bermain dengan semangat yang tinggi bertemu lawan pada pukul 4.45 petang ini.
“Bermain di tempat sendiri, sudah semestinya kami ingin mata penuh namun apa yang penting, kita perlu fokus sepanjang 90 permainan,” katanya ketika dihubungi TVS hari ini.
Dalam aksi sulung di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras minggu lalu, The Cat yang dibimbing Aidil Shahrin Sahak berjaya membawa pulang satu mata berharga selepas mengikat Kuala Lumpur City (KL City FC) dengan keputusan 1-1. -TVS.