KUCHING, 15 Mei: Datuk Abdullah Saidol meluangkan masa untuk mengucapkan terima kasih kepada para wartawan yang membuat liputan berita sepanjang Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak yang berakhir hari ini.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS) itu bersalaman dengan para wartawan yang berada di bilik media, Dewan Undangan Negeri Sarawak, selepas persidangan ditangguhkan.
“Peranan media dalam menyebarkan maklumat menerusi Persidangan Dewan Undangan Negeri Sarawak amat dihargai.
“Maklumat yang disampaikan menerusi berita pastinya sampai kepada masyarakat dengan liputan meluas media sepanjang lapan hari persidangan,” katanya ketika ditemui di lobi Dewan Undangan Negeri Sarawak di sini, hari ini.
Beliau turut mengharapkan kerjasama yang erat antara kerajaan dan media akan berterusan demi manfaat masyarakat umum.
Dalam pada itu, sempena sambutan Hari Wartawan National (Hawana) pada 29 Mei, beliau menyeru masyarakat agar turut sama menghargai pengorbanan dan kegigihan wartawan menjalankan tugas.
“Mereka bekerja tanpa mengira masa dan cuaca dalam menyampaikan maklumat yang sahih kepada masyarakat,” katanya.
Dalam pada itu, persidangan bermula 6 hingga 15 Mei itu telah meluluskan lima rang undang-undang (RUU) dan satu usul.
Yang diluluskan ialah RUU Pihak Berkuasa Pelabuhan Sarawak, Perbadanan Perhutanan Sarawak (Pindaan), Perlindungan Kesihatan Awam (Pindaan), Perbekalan Tambahan (2023) dan Perbekalan Tambahan (2024).
Usul yang diluluskan ialah Usul Penghargaan Kepada Mantan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Allahyarham Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang dibentang oleh Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.