KUCHING, 5 Mei: Fi Forest Ecosystem Fee (FEF) sebanyak lima peratus bakal dikenakan ke atas nilai karbon yang diperdagangkan.
Menurut, Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, inisiatif ini seiring dengan komitmen Sarawak untuk sama-sama menangani cabaran perubahan iklim berdasarkan agenda pelepasan sifar bersih global menjelang 2050.
Katanya, cukai tahunan penggunaan tanah untuk perdagangan karbon turut dikenakan berdasarkan keluasan kawasan lesen.
“Kadar FEF ini adalah kompetitif dan berpatutan bagi menggalakkan penyertaan pemaju projek karbon hutan di Sarawak.
“Sekiranya kadar FEF dan cukai ini tidak setara dengan kadar yang digunapakai di peringkat antarabangsa, perundangan sedia ada membenarkan semakan dibuat ke atas kadar berkenaan,” katanya dalam ucapan penggulungan kementeriannya di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak di sini, hari ini.
Beliau yang juga merupakan Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua berkata, perdagangan karbon adalah salah satu inisiatif bagi menangani isu tersebut di samping menjadi sumber ekonomi baharu.
Namun begitu katanya, penetapan harga karbon di peringkat antarabangsa masih belum dimuktamadkan.
“Harga karbon yang diperdagangkan di peringkat global pada masa ini adalah berdasarkan kesepakatan dan persetujuan antara pembeli dan penjual (willing buyer and willing seller),” katanya.
Maklumat berkenaan inisiatif karbon tersebut boleh didapati di laman sesawang Jabatan Hutan Sarawak. – TVS