KUCHING, 13 Mei: Duta Besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Edgard D. Kagan berkata, pemergian Yang di-Pertua Dewan Negara, Datuk Mutang Tagal merupakan kehilangan besar kepada Sarawak dan Malaysia.
Mengenang memori bersama mendiang, Kagan menzahirkan penghargaan terhadap dedikasi Mutang kepada reformasi Parlimen dan komitmennya dalam mengukuhkan kerangka institusi di Malaysia.
Beliau turut menyampaikan ucapan takziah kepada keluarga mendiang dan berharap agar mereka tabah menghadapi detik sukar kehilanagn insan tersayang.
“Saya amat terkesan dengan dedikasi Mutang yang mendalam terhadap reformasi Parlimen dan komitmen jitu mengukuhkan institusi yang menaungi demokrasi.
“Kecintaan mendiang terhadap Malaysia dan semangat yang mendalam untuk Sarawak amat jelas. Kepemimpinan dan visinya pasti akan dirindui,” katanya kepada media selepas melawat Pusat Hidupan Liar Semenggoh di sini hari ini.
Mutang, 70, meninggal dunia pada 11.46 pagi di Institut Jantung Negara (IJN) akibat komplikasi jantung pada Jumaat lepas.
Jasad mendiang selamat dikebumikan di Fairy Park Miri Memorial hari ini. -TVS