KUCHING, 12 Mei: Kemenangan yang dilakar Deloniel McDelon Bong merangkul tali pinggang utama WBC Asia Silver Super Bantamweight (55.0kg) berupaya meningkatkan minat anak Sarawak terhadap sukan tinju profesional.
Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, walaupun terdapat minat yang mendalam terhadap sukan itu namun ia masih memerlukan seorang ikon untuk menjadi peransang kepada bakat-bakat baharu dalam sukan itu menonjol sama ada di peringkat amatur atau profesional.
Katanya, penganjuran kejohanan WBC Asia yang pertama di Sarawak membuka potensi baharu dalam sukan itu, malah kerajaan sentiasa bersedia untuk membantu penganjuran serupa pada masa akan datang sebagai salah satu usaha untuk mengasah dan menonjolkan bakat-bakat anak Sarawak dalam sukan berkenaan.
“Ia berbalik kepada persatuan yang menganjurkan pertandingan itu dan kalau mereka sanggup untuk menganjurkan dan melibat atlet-atlet ataupun peninju-peninju daripada Malaysia, kita sedia untuk membantu.
“Kesediaan ini kerana penganjuran pertandingan seperti ini akan menyemarakkan lagi minat terhadap sukan tinju dan selain daripada itu untuk membantu industri perlancongan kita,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyaksikan perlawanan antara Jaguh Tinju Sarawak Deloniel “Kilat Boy” McDelon Bong menentang jaguh Thailand Yutthichai Wannawong bagi merebut tali pinggang utama WBC Asia Silver Super Bantamweight di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini, malam tadi.
Mengulas mengenai insentif kemenangan bagi Kilay Boy, Abdul Karim memberitahu perkara itu akan dibincangkan dan dipertimbangkan kemudian.
Malah, beliau menjelaskan amat gembira dengan sambutan penganjuran kejuaraan berkenaan yang menurutnya akan membantu menyemarakkan semangat dan minat terhadap sukan tersebut. -TVS