KUCHING, 10 Mei: Pemain bola sepak dari Sarawak dinasihatkan berwaspada dan peka dengan keselamatan kendiri meskipun sedang melakukan aktiviti harian.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Mancha Ata mengingatkan perkara itu susulan tiga insiden serangan melibatkan pemain bola kebangsaan baru-baru ini oleh penyerang tidak kenali.
Menurutnya walaupun kesemua kejadian itu berlaku di luar Sarawak namun aspek keselamatan kendiri terutama membabit pemain bola sepak dari Sarawak perlu diberi perhatian.
“Kita nasihatkan terutama pemain daripada team Sarawak supaya menjaga keselamatan itu yang penting dan setiap pergerakan mesti jaga dan sentiasa utamakan keselamatan diri serta orang sekeliling mereka,” katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas majlis serah terima tugas Ketua Jabatan Pengurusan Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sarawak di sini hari ini.
Mancha memberitahu perkara berkenaan juga turut diingatkan beliau ketika sesi libat urus dengan pemain dan pengurus pasukan bola sepak dari Sarawak baru-baru ini.
Bagaimanapun pihaknya terus menasihatkan mereka yang terlibat untuk terus berhati-hati dan peka dengan perubahan sekeliling bagi mengelakkan keselamatan mereka terjejas.
Dalam insiden serangan sebelum ini pemain kebangsaan mengalami kecederaan akibat di pukul dan di simbah asid manakala seorang lagi mengalami kerugian apabila kenderaannya di pecahkan oleh individu tidak dikenali. -TVS