KUCHING, 9 Mei: Tentera Darat Malaysia (TDM) dengan kerjasama Tentera Nasional Indonesia (TNI) berjaya mematahkan cubaan menyeludup barang keperluan asas di Ba’kelalan, Sarawak semalam.
Menurut Markas Pemerintahan Medan Timur Tentera Darat, sepasukan anggota yang menjalankan rondaan di Kampung Kunang Kelalan, Ba’kelalan yang terletak kira – kira 900 meter dari sempadan Indonesia mengesan pergerakkan mencurigakan kira – kira 12 tengah hari.
“Anggota tentera terdengar bunyi kenderaan dan
mendapati dua orang awam melarikan diri sebaik melihat pasukan keselamatan menghampiri tempat itu,” kata markas berkenaan menerusi kenyataan media hari ini.
Pemeriksaan lanjut mendapati terdapat barangan keperluan asas seperti tepung gandum seberat 60 kilogram (kg), minyak masak (30 kg), 24 botol minuman keras dan sembilan tin minuman keras ditinggalkan di situ.
Kesemua hasil rampasan itu dianggarkan berjumlah RM4,182.
“Laporan polis akan dibuat di Balai Polis Buduk Nur, Ba’kelalan untuk tindakan selanjutnya,” tambah kenyataan itu.
Kedua – dua suspek bagaimanapun berjaya melarikan diri.
Sehubungan itu TDM merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada anggotanya dan TNI yang berjaya menyekat penyeludupan barang-barang ke negara jiran.
“Operasi akan diteruskan dari semasa ke semasa bagi membanteras aktiviti penyeludupan barangan ke negara jiran,” ujar kenyataan itu. – TVS.