PUTRAJAYA, Mei 9: Peruntukan berjumlah RM2.3 juta bakal disalurkan bagi melaksanakan program berunsurkan elemen perpaduan pada tahun ini, kata Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan hari ini, peruntukan terbabit meliputi RM800,000 untuk pengurusan operasi manakala RM1.5 juta untuk pelaksanaan program tersebut.
Aaron menerusi kenyataan itu mendedahkan peruntukan yang bertujuan untuk memperkasakan lagi usaha dalam melahirkan lebih ramai sukarelawan siswa (Volunteer Leaders) selain memperkukuh keharmonian dalam kalangan rakyat Malaysia.
“Baru-baru ini, saya mempengerusikan Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) Yayasan Sukarelawan Siswa (YSS) yang ke-12 selari dengan peruntukan Akta Syarikat 2016.
“Kementerian komited untuk menjadikan Malaysia sebagai Hub Kesukarelawanan.
“Inisiatif ini termasuklah pelaksanaan tujuh misi sukarelawan siswa dalam dan luar negara, pelantikan Duta Perpaduan dan Ikon Perpaduan, serta pembangunan Dasar Kesukarelawan Nasional,” katanya dalam kenyataan berkenaan.
Pada masa sama, beliau berharap agar YSS akan terus berusaha menyemarakkan semangat kesukarelawanan dalam kalangan mahasiswa selaras dengan slogan Perpaduan melalui Sukarelawan.
Beliau turut mengumumkan dan melantik kepimpinan baharu YSS bagi sesi 2024-2026 iaitu Tan Sri Dato’ Alimuddin Mohd Dom sebagai Pengerusi, dan beberapa Ahli Lembaga Pemegang Amanah iaitu Datuk Ng Yih Pyng, Dr. Subramaniam A/L Govindan dan Razman Durhan.
Untuk rekod, YSS telah berjaya menganjurkan persidangan The International Volunteer Cooperation Organisations (IVCO) diperingkat antarabangsa pada tahun 2023 serta dua misi sukarelawan siswa ke Sabah dan Sarawak dan Festival Sama-Sama. – TVS