MIRI, 9 Mei: Dua lelaki cedera selepas terjun menyelamatkan diri dalam kebakaran kedai di Jalan Bukit, Taman Jelita di sini, malam tadi.
Dalam kejadian itu, seorang mangsa berusia 27 tahun mengalami kecederaan luka di bahagian belakang badan manakala seorang lagi remaja lelaki berusia 15 tahun cedera pada bahagian pinggang dan kaki.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kes itu 9.29 malam dengan menggerakkan Balai Bomba dan Penyelamat(BBP) Miri dengan bantuan BBP Lopeng ke lokasi kejadian.
“Kebakaran melibatkan bangunan kedai tiga tingkat yang dijadikan bilik sewa. Kebakaran berlaku pada tingkat dua dengan kemusnahan 100 peratus manakala tingkat tiga hanya 10 peratus.
“Anggota bomba membuat pemadaman menggunakan teknik offensive dan defensive bagi mengawal dan memadam kebakaran,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Katanya, kebakaran tersebut melibatkan kecederaan pada dua mangsa lelaki akibat terjun dari bangunan untuk menyelamatkan diri.
“Kedua dua mangsa dihantar ke Hospital Miri menggunakan unit EMRS untuk mendapat rawatan,” ujarnya.- TVS