KUCHING, 6 Mei: Jumlah peruntukan membaik pulih klinik-klinik dan hospital daif di seluruh Sarawak masih di peringkat perbincangan jawatankuasa khas isu fasiliti kesihatan daif.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian berkata jumlah keseluruhan peruntukan itu nanti akan dibentang pada sesi penggulungan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak.
“Kini diserahkan kepada jawatankuasa yang diketuai oleh Ketua Setiausaha Negara dan Setiausaha Kerajaan Sarawak untuk menentukan butirannya.
“Kita harap (kata putus) akan dapat menangani isu infrastruktur dan fasiliti kesihatan, selain sumber manusia perkhidmatan kesihatan Sarawak,” katanya ketika ditemui TVS di Dewan Undangan Negeri di sini, hari ini.
Menurutnya, jumlah peruntukan untuk membaik pulih klinik dan hospital daif adalah tiga kali lebih besar berbanding sekolah daif.
Beliau menegaskan adalah mustahak bagi kuasa autonomi kesihatan diserahkan kepada Sarawak dalam usaha menyelesaikan masalah-masalah sedemikian.
“Serahkan kuasa kembali kepada Sarawak dan kami akan menguruskannya dengan lebih baik. Kita akan berbincang lagi dengan Jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63),” katanya.
Sebelum ini, satu jawatankuasa khas antara kerajaan Persekutuan dan Sarawak ditubuhkan bagi memperhalusi isu sektor pendidikan dan kesihatan di negeri itu. – TVS