GEORGE TOWN, 4 Mei: Kementerian Komunikasi berhasrat menyekat penggunaan aplikasi WhatsApp dalam kalangan kanak-kanak selepas mendapati ia mendedahkan mereka kepada jenayah seksual dan pedofilia.
Menterinya, Fahmi Fazdil berkata, hasil penemuan yang didedahkan Bahagian Siasatan Jenayah Seksual Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman kepada pihaknya mendapati aplikasi itu tidak sesuai untuk digunakan oleh kanak-kanak.
“Antara platform yang banyak disalahgunakan oleh golongan pedofilia yang melakukan jenayah seksual terhadap kanak-kanak ialah WhatsApp dan ini adalah penemuan yang sangat mengejutkan.
“Justeru, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bersama pihak Meta yang memiliki platform itu sedang dalam perbincangan dengan kementerian.
“Kita berharap dapat memberi satu penegasan bahawa kanak-kanak di bawah usia 13 tahun tidak boleh memiliki akaun media sosial seperti WhatsApp, Instagram, Facebook atau TikTok,” katanya kepada pemberita hari ini.
Beliau ditemui selepas Program Jiwa Madani di Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Perempuan Al-Mashoor di sini.
Turut hadir, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Sementara itu, Fahmi berkata, MCMC akan mengambil tindakan lebih tegas biarpun setakat ini pihaknya mendapat kerjasama yang tidak memadai daripada wakil pengendali platform itu.
“Pihak platform terbabit hanya meletakkan sebagai terma dan syarat berhubung kanak-kanak di bawah 13 tahun tidak dibenarkan memiliki akaun, tapi tidak melakukan apa-apa secara proaktif melarang mereka mendaftar.
“Ini adalah satu perkara yang cukup membimbangkan dan kita berhasrat ambil tindakan yang tegas demi keselamatan kanak-kanak dan keluarga bila mereka menggunakan platform-platform ini,” katanya lagi. – TVS