MIRI, 2 Mei: Hari Raya Aidilfitri tahun ini bertambah bermakna bagi seorang penghidap Cerebral Palsi (CP) apabila impiannya memiliki sandal ortotik buatan sendiri dengan insole tersuai menjadi kenyataan.
Muhammad Nuzul Zulkarnain, 20, yang juga seorang penghidap autisme dan sindrom hidrosefalus bergantung dengan kerusi roda dan diletakan di bawah penjagaan perubatan berterusan sejak lahir dengan ubat ‘Epilim’ yang membentuk aspek penting dalam rawatannya.
Ibunya, Asfarina Asma Mohammad, 47, berkata beliau tidak menyangka bahawa anaknya merupakan antara yang terpilih untuk menerima sumbangan tersebut yang disumbangkan PETRONAS.
“Bapa dia yang sediakan senarai permintaan apa yang Nuzul perlukan untuk pergerakan dia. Macam-macam kami minta. Alhamdulillah dia dipilih dan pihak PETRONAS bagi kasut itu.
“Memang kami tak sangka juga sebab PETRONAS ini besar, memang dia ambil banyak orang. Jadi tak sangka Nuzul salah seorang yang terpilih,” katanya.
Menurut Asfarina, Nuzul yang lahir pramatang mengalami komplikasi apabila terdapat air di dalam kepalanya. Ini memerlukan pembedahan dilakukan padanya pada usia dua bulan yang memberi kesan kepada sistem otot dan saraf Nuzul.
Sumbangan tersebut diserahkan PETRONAS pada Kempen 50 Impian PETRONAS meraikan ulang tahun ke-50 penubuhannya dan Nuzul merupakan penerima yang pertama di Sarawak.
PETRONAS menyasarkan untuk memenuhi lapan impian di Sarawak sempena musim perayaan dan mereka akan mengadakan lagi sempena Hari Gawai Dayak. – TVS
Ikuti Channel WhatsApp TVS agar tidak terlepas berita terkini. Klik di sini!