KUCHING, 25 April: Projek pembinaan Makmal Penyelidikan Agro di Sebuyau bernilai RM35 juta akan bermula tahun ini.
Menteri Utiliti dan Komunikasi Sarawak, Dato Sri Julaihi Narawi berkata, makmal berkenaan akan memfokuskan kepada penanaman semula tanaman kelapa di daerah berkenaan.
“Jadi maknanya, kawasan Sebangan ke Sebuyau merupakan kawasan yang sesuai untuk penanaman semula dan kita telah kenal pasti kawasan yang subur untuk melakukannya.
“Insya-Allah tahun ini akan bermula dan kita telah mempunyai pelan yang komprihensif yang akan dilaksanakan dengan kerja sama pihak UNIMAS,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa ditemui oleh pemberita selepas mengadakan sesi kujungan hormat di Dewan Mengadap Utama, Astana Negeri Sarawak, pada Khamis.
Terdahulu, Julaihi mengadakan kunjungan hormat kepada Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Dr Wan Junaidi Wan Tuanku Jaafar serta isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, di sini.
Julaihi memberitahu kunjungan hormat berkenaan bertujuan untuk menghantar jemputan kepada Tun Wan Junaidi serta isteri bagi menyempurnakan Majlis Ramah Tamah Aidilfitri Daerah Sebuyau 2024 pada Sabtu ini, 27 April 2024. -TVS