KUCHING, 22 Apr: Kementerian Kesihatan mengeluarkan 3,816 kompaun dengan nilai tawaran RM1.9 juta atas tindakan pencegahan dan kawalan demam denggi.
Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Muhammad Radzi Abu Hassan berkata melalui penguatkuasaan Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit (APSPP) 1975, 642 kes telah didaftarkan untuk tindakan mahkamah.
“(Tawaran yang dikeluarkan adalah) purata RM500 setiap kompaun. Dalam masa yang sama sebanyak 95 kes telah disabitkan kesalahan di mahkamah dengan jumlah denda RM180,600.00,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.
Bagi tindakan penguatkuasaan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau (PPKHT) 2004, sebanyak 5,549 kompaun telah ditawarkan dengan nilai RM1,384,600.
Menurutnya, sejumlah 8,926 notis kesalahan dikeluarkan daripada 18,178 premis yang dilawati.
Melalui tindakan penguatkuasaan Akta Makanan 1983 pula, Dr Muhammad Radzi berkata sebanyak 33,473 premis makanan telah diperiksa.
“Jumlah premis makanan yang diberi perintah penutupan sementara di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 ialah 124 iaitu 0.37 peratus daripada keseluruhan premis makanan yang diperiksa,” katanya. – TVS