JAKARTA, 9 April: Kerajaan Indonesia mengumumkan 10 April (esok) sebagai tarikh sambutan Hari Raya Aidilfitri di negara ini.
Menteri Agama Indonesia, Yaqut Cholil Qoumas berkata, hari ini kedudukan anak bulan kelihatan dan memenuhi syarat ditetapkan oleh Menteri-Menteri Agama Negara Brunei Darussalam, Indonesia, Malaysia dan Singapura (MABIMS) iaitu kedudukannya pada empat hingga tujuh darjah.
“Pengumuman ini berdasarkan keputusan proses cerapan anak bulan Syawal di seluruh wilayah Indonesia serta pengiraan matematik dan astronomi mengikut peraturan MABIMS,” katanya menerusi sidang media hari ini.
Sementara itu Singapura turut mengumumkan 1 Syawal di republik berkenaan disambut esok.
Muftinya, Dr Nazirudin Mohd Nasir mengesahkan perkara itu menerusi video yang dimuat naik di laman sosial Majlis Ugama Islam (MUIS) hari ini.
Di Bangkok, Thailand Bernama melaporkan Sheikhul Islam Thailand ke-19, Arun Boonchom mengumumkan menerusi siaran langsung Facebook bahawa umat Islam di Thailand akan menyambut Aidilfitri esok selepas anak bulan kelihatan setelah matahari terbenam hari ini.-TVS