KUCHING, 9 April: Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyeru seluruh rakyat Sarawak supaya terus berusaha ke arah memperkukuhkan perpaduan.
Tegas beliau yang juga Premier Sarawak, aspek berkenaan sangat penting dalam kalangan rakyat Bumi Kenyalang yang mempunyai pelbagai agama, bangsa dan budaya.
“Marilah kita sama-sama terus berusaha ke arah penyatuan masyarakat majmuk dan elakkanlah perkara-perkara yang akan mendatangkan perpecahan,” katanya.
Abang Johari berkata demikian menerusi perutusan Hari Raya Aidilfitri yang disiarkan secara langsung menerusi TVS malam ini.
Sementara itu beliau berkata, bagi masyarakat pelbagai kaum dan agama di Sarawak, sudah menjadi kebiasaan sambutan dikongsi dengan kaum-kaum lain.
“(Ini sama) dengan amalan kunjung-mengunjung pada Tahun Baru Cina, Gawai Dayak, Krismas atau Deepavali.
“Marilah kita sama-sama berdoa agar suasana keharmonian akan terus terjalin di Bumi Kenyalang yang kita cintai kerana itulah tonggak kekuatan untuk menjadikan Sarawak wilayah yang aman dan makmur,” tambahnya.
Dalam pada itu Abang Johari turut berpesan agar rakyat Sarawak tidak mudah terpengaruh dengan tindak-tanduk masyarakat di tempat-tempat lain.
“(Mereka) begitu cenderung melihat perbezaan daripada unsur-unsur penyatuan berkaitan isu-isu yang berkisar tentang agama dan keturunan hampir setiap hari,” katanya.
Mengakhiri perutusan, Abang Johari berkata beliau dan isteri, Puan Sri Datuk Amar Juma’ani Tun Tuanku Bujang mengucapkan Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada rakyat Sarawak.
“Semoga kita beroleh kesejahteraan dan dikurniakan dengan kesihatan yang baik,” katanya. -TVS