SIBU, 2 April: Tindakan pantas penduduk rumah panjang di Rumah Joseph Ason, Ulu Sungai Salim dekat sini memadamkan kebakaran di salah sebuah bilik dapur menggunakan alat pemadam mudah alih berjaya menggelak api daripada merebak ke keseluruhan kediaman itu petang tadi.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 4 Sibu, Penguasa Kanan Bomba (PgKB 1) Andy Alie berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 3.31 petang.
Katanya, sebaik tiba di lokasi kejadian, pihaknya mendapati kebakaran sudah dipadam oleh penghuni rumah panjang dengan menggunakan alat pemadam api mudah alih.
“Tindakan pantas beberapa penghuni rumah panjang berkenaan sangat dihargai kerana berjaya menyelamatkan nyawa dan harta benda penduduk yang mendiami rumah panjang 14 pintu berkenaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati kebakaran hanya melibatkan peti sejuk dan almari terbakar 100 peratus dan kawasan dapur terjejas 10 peratus sahaja.
“Pasukan Keluaran Operasi dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibujaya hanya memadamkan sisa kebakaran sehingga dipadamkan sepenuhnya.
“Kita masih menjalankan siasatan berhubung punca sebenar kebakaran,” katanya.
Menurutnya, kebakaran tidak melibatkan kehilangan jiwa dan penghuni bilik No. 2 tiada di rumah ketika kejadian.
Operasi ditamatkam pada jam 4.44 petang. -TVS