KUALA LUMPUR, 18 Mac: Sebanyak 8,438 Kawasan Rukun Tetangga (KRT) telah ditubuhkan di seluruh negara dengan keanggotaan seramai 210,000 orang ahli jawatankuasa.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, kesemua KRT itu menyediakan liputan kepada 12.5 juta penduduk.
Kata Aaron penubuhan berkenaan selaras dengan fokus utama Kementerian Perpaduan Negara (KPN) pada tahun ini untuk menggerakkan inisiatif Pemerkasaan Rukun Tetangga Sebagai Penggerak Komuniti Progresif.
“(Ini dilakukan) melalui lapan bidang yang meliputi ekonomi dan sara hidup, keselamatan dan ketahanan diri, kepimpinan, kesejahteraan komuniti, pembelajaran sepanjang hayat, alam sekitar, warisan dan budaya serta daya cipta,” katanya pada sidang Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Yuneswaran Ramaraj (Pakatan Harapan-Segamat) yang meminta kementerian menyatakan apakah langkah-langkah yang telah diambil oleh Kementerian untuk melestarikan perpaduan melalui KRT dan program-program kementerian.
Tambah Aaron, kelapan-lapan bidang tumpuan ini ditetapkan berdasarkan kepada cabaran dan keperluan semasa di peringkat komuniti dan negara, khususnya yang berkaitan dengan agenda ekonomi komuniti.
“Justeru, RT akan menggerakkan aktiviti-aktiviti yang telah dirangka ini dengan penglibatan komuniti setempat yang menjadi tonggak penting kepada kejayaan dan keberkesanan aktiviti yang dilaksanakan,” jelasnya. -TVS