SINGAPURA, 15 Mac: Perusahaan gergasi, Sumitomo Corporation giat meneroka lebih banyak keterlibatan dalam projek hijau di Sarawak, kata Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan.
Menurut beliau, projek tersebut merangkumi Penggunaan dan Penyimpanan Tangkapan Karbon (CCUS), sumber tenaga boleh diperbaharui, tenaga biomas tebu, logam hijau serta derivatif.
“Pelaburan sedemikian dialu-alukan kerana ia selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 (PCDS) 2030,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Awang Tengah, yang juga merupakan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan (MINTRED) dan Menteri Kedua Pembangunan Bandar dan Sumber Asli mendedahkan Sumitomo Corporation juga sedang melaksanakan beberapa projek yang berlangsung di Sarawak.
“Sumitomo Corporation itu kini sedang membangunkan projek pengeluaran hidrogen di Bintulu.
“Syarikat ini juga sedang mencari untuk meneroka dan melabur dalam sektor ekonomi baru termasuk ekonomi hijau dan digital,” katanya lagi.
Turut serta Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Zainal Abidin Abdullah, Penasihat PUSAKA Datu Hashim Bojet, Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak Timothy Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif PUSAKA Capital Sdn Bhd Mohamad Nor Topek Julaihi. – TVS