KUCHING, 14 Mac: Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan mengalu-alukan hasrat syarikat-syarikat dari Singapura yang mahu melabur dalam bidang tenaga boleh diperbaharui dan hijau di negeri ini.
Beliau yang kini berada di Singapura, mengadakan perjumpaan dengan syarikat UOB Group, Eastspring Investments, Two Family Office, Chemsain dan Kuok Group, hari ini.
“Timbalan Premier Sarawak mengalu-alukan minat syarikat-syarikat ini sejajar dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2030,” kata kenyataan dikeluarkan pejabatnya.
Turut serta semasa pertemuan itu, Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Perusahaan Kayu Sarawak (PUSAKA) Zainal Abidin Abdullah, Penasihat PUSAKA Datu Hashim Bojet, Ketua Pegawai Eksekutif InvestSarawak Timothy Ong dan Ketua Pegawai Eksekutif PUSAKA Capital Sdn Bhd Mohamad Nor Topek Julaihi.