LIMBANG, 13 Mac: Bazar Ramadan satu lagi tarikan utama bagi semua pengunjung tanpa mengira kaum dan agama setiap kali Ramadan di daerah ini.
Kehadiran pengunjung dan pembeli pelbagai kaum dan agama menambah lagi rezeki kepada peniaga untuk meningkatkan pendapatan sebagai persediaan menyambut Hari Raya.
Bertempat di Lot 777, yang kebiasaannya menjadi kawasan parkir kereta, kembali bertukar meriah sepanjang Ramadan kerana menjadi lubuk rezeki kepada peniaga Ramadan kali ini.
Kawasan berkenaan amat strategik dan menjadi pilihan utama peniaga untuk berniaga memandangkan kedudukannya yang terletak di pusat bandar.
Seorang peniaga cendol Siti Rodah Mail, berusia 56 tahun dari Kampung Baru Pelita Limbang, menyifatkan tahun ini lebih meriah berbanding tahun sebelumnya.
Jelasnya hari pertama berniaga, beliau tidak menang tangan melayan pelanggan setia serta pengunjung yang datang.
Beliau yang berniaga selama 30 tahun ditemani suami Hasbol Piut, 69, serta anak-anak menjual pelbagai jenis minuman antaranya cendol, ABC, laici kang dan pelbagai minuman.
“Perbezaannya Bazar Ramadan lebih meriah lagi dari tahun lepas dan tahun ini memberi kami rezeki,” katanya ketika ditemui di Bazar Ramadan hari ini.
Bagi peniaga Sarimah Curry House Mohamad Fakhri Mahrip, 26, menyifatkan penganjuran Bazar Ramadan tahun ini banyak memberi keselesaan berbanding tahun sebelumnya.
Katanya Majlis Daerah Limbang (MDL) menyediakan kemudahan khemah berniaga dan ruang meletak meja yang lebih besar sekali gus memberi keselesaan kepada peniaga kali ini.
Katanya peniaga bagi kategori menu panggang dan salai tidak lagi ditempatkan di kawasan sama memberi keselesaan kepada peniaga yang sebelum ini berdepan asap tebal.
Antara menu yang dijual digerainya temasuk nasi campur dengan pelbagai jenis lauk pauk, menu bergoreng dan minuman seperti air puspa,kelapa, teh bunga madu selain menu lain.
“Alhamdulillah untuk tahun ini, kami disediakan khemah yang lebih besar, dan kedudukan lebih selesa dr sebelum ini.
“Insya-Allah untuk akan datang boleh ditambah baik dengan menyediakan surau dan kipas bagi memudahkan dan memberi keselesaan pembeli dan penjual,” ujarnya
Bagi Siti Haimah Mail, 43, dari Kampung Lupak Rangas berkata nasi katok nyayat (tertagih) antara menu yang ‘hangat’ dan sentiasa laris dijual di gerainya setiap kali Bazar Ramadan.
Selain itu beliau turut menyediakan pelbagai menu menyelerakan termasuk nasi lalapan,umai udang, keropok lekor, mi soto dan mi jawa.
Katanya hari pertama penganjuran Bazar Ramadan, gerainya turut diserbu pengunjung bukan saja dari Limbang dan Lawas, malah dari negara jiran Brunei.
“Bazar kali ini sangat memuaskan dan meriah dari sebelum ini.
“Hari pertama berniaga semalam, banyak pengunjung dari Brunei, dan Lawas pun datang membeli belah untuk berbuka puasa, selain pengunjung bukan Islam yang memeriahkan bazar,” katanya. – TVS