KUALA LUMPUR, 4 Mac: Kerajaan Persekutuan disaran supaya lebih kreatif dan berfikiran di luar kotak untuk mencari sumber pendapatan baharu negara.
Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin berkata, kerajaan pusat boleh mencontohi langkah Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg yang berjaya meningkatkan pendapatan Sarawak dengan lonjakan yang begitu tinggi.
“Hanya dengan penghapusan ketirisan, subsidi bersasar dan sumber pendapatan baharu, kerajaan akan mendapat nafas baharu untuk memantapkan kedudukan kewangan negara,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja pada Sidang Parlimen di sini hari ini.
Sementara itu, Willie berkata atas dasar faktor ekonomi dan perbelanjaan kerajaan yang semakin membengkak, beliau bersetuju dengan langkah berani untuk melaksanakan pemansuhan skim pencen bagi penjawat awam baharu berstatus tetap tanpa menganggu gugat taraf penjawat awam yang telah menerima lantikan tetap dan berpencen.
“Saya juga setuju perlaksanaan ini juga harus melibatkan wakil Dewan Rakyat dan Dewan Negara yang baharu dipilih dan dilantik.
“Namun, saya ingin menegur Kerajaan Persekutuan supaya jangan terlalu gopoh dan terburu-buru dalam membuat pengumuman yang mendahului perbahasan perkara ini di Dewan Rakyat dan Dewan Negara,” katanya.
Tambah Willie, penelitian terhadap libat urus serta akta berkaitan yang perlu dipinda dan pandangan penjawat awam di pelbagai peringkat perlu dilakukan sebelum kabinet membuat keputusan. -TVS.